Sunday, September 16, 2012

ECPI RANCANG BUKA KILANG DI CHINA DAN INDIA TAHUN DEPAN

MELAKA, 17 Ogos (Bernama) -- Gesundheit Laboratories and Pharmaceutical Sdn Bhd, pengeluar air minuman ECPI bercadang memperluas dan mengukuhkan lagi perniagaan dengan membuka kilang di China dan India pada tahun depan.

Pengasas dan Pengarah Eksekutifnya, Prof Emeritus Sir Dr Amir Hamzah berkata pembukaan kilang yang masing-masing menelan kos RM5 juta dan RM6 juta itu dilakukan ekoran kesulitan mengeksport produk yang melibatkan peraturan ketat selain cukai import yang tinggi sehingga mencecah 58 peratus.

"Kita menerima permintaan yang tinggi di kedua-dua negara ini dan pelaburan
secara langsung melalui pembinaan kilang akan membantu memasarkan produk kesihatan keluaran syarikat ini dengan mudah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada anak yatim dan golongan miskin di pejabat syarikat itu di Semabok di sini.

Beliau berkata ia juga berikutan permintaan tinggi dari empat agen syarikat itu di China dan enam agennya di India. Katanya sehingga hari ini produk kesihatan keluaran syarikat itu telah menembusi 15 negara termasuk Singapura, Brunei, Kuwait, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, Amir berkata syarikat itu berhasrat menambah lebih banyak klinik perubatan elektronik yang menawarkan gabungan perubatan tradisional dan moden di negara ini.

Beliau berkata, pada masa ini, lebih 100 klinik perubatan elektronik dibuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Katanya pihaknya turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi melahirkan pengamal perubatan dalam bidang tersebut.

BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...